Staf Toksik: Kos Yang Tak Pernah Masuk Penyata

Yang menyusahkan tentang staf toksik ialah dia selalunya bukan staf yang gagal. Jualan dia cukup. Kerja dia siap. Atas kertas, dia antara yang terbaik.

Tetapi orang di sekeliling dia semakin berkurangan.

Kos yang tersembunyi

Satu orang toksik boleh menyebabkan tiga orang baik berhenti. Kos mengambil ganti, kos melatih, kos kerja yang terganggu selama dua bulan, semuanya masuk ke dalam penyata. Tetapi tiada satu pun yang dicatat di sebelah nama dia.

Jadi bila kita melihat angka, dia nampak seperti aset. Sedangkan dia sedang membayar dirinya sendiri dengan duit orang lain.

Tanda yang boleh dilihat

  1. Staf lain berhenti bertanya, dan mula bekerja dalam diam. Bila orang berhenti bertanya, bukan sebab mereka sudah faham semuanya.
  2. Maklumat disimpan sebagai kuasa, bukan dikongsi sebagai kerja. Hanya dia tahu di mana fail itu, hanya dia kenal pelanggan itu.
  3. Setiap masalah ada penjelasan, dan penjelasan itu selalu orang lain. Tiada satu pun yang pernah kesilapannya sendiri.

Yang perlu dibuat

  1. Tegur dengan contoh, bukan dengan perasaan. Catat tarikh, kejadian, dan siapa yang terlibat. Tanpa catatan, perbualan itu akan jadi pertikaian pendapat.
  2. Tetapkan tempoh dan sasaran perubahan secara bertulis. Tingkah laku pun boleh dijadikan sasaran, bukan hanya jualan.
  3. Kalau tak berubah, lepaskan. Prestasi tak boleh membeli pengecualian.

Peraturan terakhir itu yang paling mahal untuk dilaksanakan dan paling mahal untuk diabaikan.

Sebab bila kita simpan seorang yang toksik kerana angkanya bagus, kita sedang memberitahu semua staf lain bahawa cara bekerja tidak penting selagi nombor cantik. Dan mereka akan percaya kita.

Pasukan yang baik bukan pasukan yang penuh dengan orang berbakat. Ia pasukan yang orang berbakatnya boleh bekerja bersama.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Prestasi dalam bisnes tuan membayar harga yang tersembunyi? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.