Bila Masa Yang Betul Untuk Naikkan Harga?

Catatan Tukang Fikir

Setiap owner tahu harga patut naik. Yang menahan kita bukan kiraan, tetapi takut. Takut pelanggan lari. Takut pesaing ambil kesempatan. Jadi kita tunggu, dan tunggu, sampai margin habis sendiri.

Tiga tanda ia sudah lewat

  1. Kos bahan sudah naik dua kali tetapi harga kita masih sama seperti tahun lepas.
  2. Kita mula kurangkan kualiti atau kuantiti untuk kekalkan harga. Pelanggan perasan, cuma mereka tak cakap.
  3. Kita sendiri sudah tak berani kira margin semula sebab takut nampak jawapannya.

Kalau salah satu daripada tiga ini berlaku, kita bukan sedang menjaga pelanggan. Kita sedang mensubsidi pelanggan dengan duit gaji kita sendiri.

Cara menaikkan tanpa kegemparan

  1. Naik kecil dan awal, bukan besar dan lewat. Kenaikan lima peratus setahun lebih senang diterima daripada kenaikan dua puluh peratus sekali gus selepas tiga tahun.
  2. Beritahu sebulan lebih awal, dengan sebab yang jujur. Kos bahan naik, itu sebab yang semua orang faham sebab mereka pun alami.
  3. Kekalkan harga lama untuk pelanggan kontrak sampai tamat tempoh. Itu menunjukkan kita menghormati perjanjian, bukan sekadar mahu duit lebih.

Dan bersedia untuk kehilangan sebilangan kecil pelanggan. Ini bahagian yang owner paling takut, tetapi cuba perhatikan. Pelanggan yang hilang kerana kenaikan lima peratus selalunya pelanggan yang paling banyak meminta, paling lambat bayar, dan paling kecil belanjanya.

Yang tinggal selepas kenaikan itu, mereka itulah bisnes sebenar kita.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Tak pasti bila dan berapa perlu naikkan harga? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.