Kenapa Harga Kita Murah Tetapi Kita Tetap Tak Untung?

Catatan Tukang Fikir

Ramai owner menetapkan harga dengan cara yang sama. Tengok harga pesaing, kemudian letak sedikit lebih murah. Rasanya selamat. Sebenarnya itu keputusan paling berbahaya dalam bisnes.

Sebab bila kita letak harga ikut orang lain, kita sedang mengandaikan kos kita sama dengan kos mereka. Padahal sewa kita lain, staf kita lain, pembaziran kita lain.

Harga dibina dari bawah, bukan dari atas

Harga yang betul bermula dari kos. Kos bahan atau kos belian, campur kos buruh yang terlibat, campur bahagian kos tetap, baru kemudian margin yang kita mahu. Selepas itu kita bandingkan dengan pasaran, bukan sebaliknya.

Kalau angka itu keluar lebih tinggi daripada pesaing, ada dua kemungkinan. Kos kita memang tinggi dan perlu dibetulkan, atau pesaing itu sedang menjual tanpa tahu kosnya sendiri. Kedua-duanya bukan sebab untuk kita ikut.

Kos yang selalu lupa dikira

  1. Kerja semula dan barang rosak. Kalau sepuluh keluar, satu kena buat semula, kos satu itu milik sembilan yang lain.
  2. Masa owner. Kalau tuan sendiri yang menyiapkan kerja, itu tetap kos walaupun tuan tak bayar diri sendiri.
  3. Kos menagih dan kos hantar. Panggilan telefon, minyak, masa menunggu, semua itu keluar dari untung.

Bila tiga perkara ini masuk dalam kiraan, banyak barang yang kita sangka untung sebenarnya tidak.

Bila harga perlu dinaikkan

Kalau kos bahan sudah naik dua tiga kali tetapi harga kita masih sama, itu bukan kesetiaan kepada pelanggan, itu subsidi. Naikkan sedikit, awal, dan beritahu dengan jelas. Pelanggan lebih terima kenaikan kecil yang dijelaskan daripada kenaikan besar yang mengejut.

Harga murah bukan strategi. Ia hanya strategi kalau kos kita betul-betul lebih rendah. Kalau tidak, itu bukan murah, itu sedekah yang kita bayar dengan duit gaji sendiri.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Tak pasti harga tuan menutup kos atau tidak? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.