Diskaun Itu Pemurah atau Bunuh Diri?

Catatan Tukang Fikir

Pelanggan minta diskaun. Kita takut hilang jualan, jadi kita bagi. Bulan itu jualan nampak cantik. Tetapi bila akaun keluar, untung entah ke mana.

Masalahnya bukan pelanggan minta. Masalahnya kita bagi tanpa tahu kesannya.

Diskaun bukan potong untung sama banyak

Ramai owner fikir diskaun sepuluh peratus bermakna untung turun sepuluh peratus. Tidak. Diskaun itu dipotong dari harga jualan, tetapi kos kita tidak turun sesen pun. Jadi kalau margin kita dua puluh peratus, diskaun sepuluh peratus memakan separuh daripada untung kita. Kalau margin kita lima belas peratus, diskaun sepuluh peratus hampir menghabiskan semuanya.

Itu sebabnya ada bisnes yang jualannya naik selepas kempen diskaun, tetapi duitnya tidak pernah cukup.

Kesan yang lebih lama

Pelanggan yang datang kerana harga akan pergi kerana harga. Dan diskaun yang diberi kerap akan jadi harga sebenar kita di mata pasaran. Selepas enam bulan, harga asal kita hanya tinggal di papan tanda.

Buat tiga benda ini

  1. Tahu margin setiap produk sebelum beri apa-apa diskaun. Tanpa angka itu, setiap diskaun adalah tekaan.
  2. Tukar diskaun menjadi syarat, bukan hadiah. Diskaun untuk kuantiti lebih besar, untuk bayaran awal, atau untuk kontrak lebih panjang. Kita beri sesuatu, kita dapat sesuatu.
  3. Tetapkan had diskaun bertulis untuk staf, dengan nilai ringgit yang jelas. Lebih daripada itu perlu kelulusan.

Bermurah hati kepada pelanggan itu baik. Tetapi bermurah hati dengan duit yang kita sendiri perlukan untuk bayar gaji bukan pemurah, itu cuai.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Tak pasti diskaun tuan makan untung atau tidak? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.