Untung Ada, Duit Tak Ada. Ke Mana Duit Itu Pergi?

Catatan Tukang Fikir slaid 1

Ada satu jenis penat yang owner bisnes sahaja faham. Penat bila akauntan beritahu kita bisnes untung, tetapi hujung bulan kita masih terpaksa masukkan duit sendiri untuk bayar gaji.

Kita pandang penyata untung rugi itu lama-lama. Angka di bawah hitam, bukan merah. Tetapi akaun bank kita cerita lain.

Selalunya waktu itu kita mula syak orang. Syak staf. Syak kerani akaun. Syak supplier naikkan harga diam-diam.

Pelik kan? Dua-dua angka itu sebenarnya betul. Yang tak betul adalah cara kita faham perbezaan antara untung dan duit.

Untung bukan duit

Untung itu hanya angka. Ia jualan ditolak kos, dikira atas kertas, untuk satu tempoh. Duit pula benda yang betul-betul masuk dan keluar dari akaun kita. Bisnes boleh untung tiga tahun berturut-turut dan mati pada tahun keempat kerana kehabisan duit. Itu bukan cerita hairan, itu cerita biasa.

Jadi kalau untung ada tetapi duit tak ada, duit itu tidak hilang. Ia tersangkut. Dan selalunya ia tersangkut di tiga tempat yang sama.

Tiga tempat duit tersangkut

Tempat pertama, stok. Kita beli banyak sebab harga murah, sebab takut kehabisan, sebab supplier bagi diskaun kalau ambil lebih. Duit kita masih ada, tetapi ia sudah bertukar bentuk jadi barang di dalam stor. Barang tidak boleh bayar gaji.

Tempat kedua, hutang pelanggan. Kita hantar invois, pelanggan kata minggu depan, minggu depan jadi bulan depan. Kita tak berani tekan sebab takut hilang pelanggan. Kita jadi bank kepada bisnes orang lain, tanpa faedah.

Tempat ketiga, ambilan owner. Ini yang paling jarang orang nak sebut. Isi minyak kereta guna duit kaunter. Belanja makan keluarga guna kad bisnes. Bagi duit anak dari duit jualan hari itu. Kecil-kecil, tidak direkod, dan tidak pernah muncul dalam mana-mana penyata. Bila ditanya, jawapannya, “bisnes aku, duit aku”.

Betul, itu duit tuan. Tetapi kalau tuan tak rekod, tuan bukan sedang guna duit tuan. Tuan sedang buat bisnes tuan buta.

Buat tiga benda ini

  1. Rekod ambilan owner sebagai satu barisan yang berasingan. Setiap kali, walau seringgit. Bukan untuk kawal tuan, tetapi untuk tuan nampak jumlah sebenar dalam sebulan. Angka itu selalunya lebih besar daripada yang kita sangka.
  2. Kutip hutang ikut umur invois, bukan ikut mood. Satu senarai, tiga lajur: belum sampai tempoh, lewat 30 hari, lewat lebih 60 hari. Yang lewat lebih 60 hari itu bukan pelanggan lagi, itu masalah yang perlu diselesaikan minggu ini.
  3. Kira duit masuk dan keluar setiap minggu, bukan bulanan. Satu helaian, satu muka. Baki awal minggu, jangkaan masuk, wajib keluar, baki hujung minggu. Bila tuan nampak seminggu ke depan, tuan tak perlu buat keputusan panik pada hari Jumaat.

Lepas buat tiga benda ini sebulan, barulah kita boleh bercakap pasal margin, pasal harga, pasal nak buka cawangan. Sebelum itu semua perbualan pasal berkembang hanyalah perbualan.

Bisnes bukan mati kerana tak untung. Bisnes mati kerana kehabisan duit sementara menunggu untung.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Nak lihat di mana duit dalam bisnes tuan tersangkut? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.