Bayar Supplier Dulu atau Bayar Diri Sendiri Dulu?

Catatan Tukang Fikir

Corak ini hampir sama di semua bisnes kecil. Duit masuk, owner bayar supplier. Bayar gaji staf. Bayar sewa, bayar ansuran, bayar bil. Kemudian apa yang tinggal, baru dia ambil untuk diri sendiri.

Masalahnya, yang tinggal itu selalunya tak ada. Dan bulan depan pusingan yang sama berulang.

Kenapa ia bahaya

Bisnes yang tak mampu bayar owner sebenarnya sedang disubsidi oleh owner. Kita bekerja penuh masa, kita tanggung semua risiko, dan kita ambil yang paling akhir. Subsidi itu pula tidak muncul dalam mana-mana penyata, jadi bisnes nampak lebih sihat daripada keadaan sebenar.

Lebih bahaya, keadaan ini boleh bertahan bertahun-tahun tanpa disedari. Sampai satu hari owner sendiri yang tak mampu bertahan.

Susunan yang lebih sihat

  1. Simpanan bisnes. Walau sedikit, setiap kali duit masuk. Ini yang akan menyelamatkan kita bila ada kejutan.
  2. Gaji owner. Satu jumlah tetap, dibayar pada tarikh yang sama setiap bulan seperti staf lain.
  3. Supplier dan kos operasi, ikut jadual dan ikut syarat yang dijanjikan.
  4. Baki, untuk pertumbuhan. Stok tambahan, peralatan, atau pemasaran.

Perhatikan susunan itu. Simpanan dan gaji owner di atas, bukan di bawah. Bukan kerana owner lebih penting daripada supplier, tetapi kerana dua perkara itu yang paling senang dilupakan dan paling mahal kesannya bila dilupakan.

Kalau duit tak cukup untuk semua

Itu bukan sebab untuk owner tak dibayar. Itu sebab untuk kita semak tiga perkara: harga kita cukup atau tidak, kos kita terkawal atau tidak, dan kutipan kita berjalan atau tidak.

Bisnes yang hanya mampu hidup kalau ownernya tidak dibayar bukan bisnes. Itu kerja sukarela yang ada papan tanda.

Dari Orang Bisnes kepada Orang Bisnes.

Ringkasan dalam slaid

Bisnes tuan mampu bayar tuan atau tidak? Mulakan dengan Diagnos Bisnes.

Sejauh Mana Bisnes Tuan Benar-Benar Boleh Berjalan Tanpa Tuan?

Mulakan Dengan Diagnos Bisnes — 5 Hingga 10 Minit.

Diagnos Bisnes menilai Manusia, Kerja, Duit dan Owner, lalu memberikan skor dan gambaran awal tentang bahagian yang membawa risiko paling besar kepada syarikat tuan. Ia bukan audit dan bukan keputusan muktamad — ia menentukan apa yang perlu diperiksa dahulu.